MAJLIS PRA PELANCARAN SAMBUTAN JUBLI EMAS ANGKASA 2021

PETALING JAYA, 23 DISEMBER 2020 – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pada hari ini menganjurkan Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas ANGKASA bersempena dengan ulang tahun penubuhannya yang ke-50 pada tahun 2021.

ANGKASA bersempena dengan ulang tahun penubuhannya yang ke-50 pada tahun 2021. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), YBhg. Dato’ Abdul Fattah Abdullah di Wisma Ungku.A. Aziz, Kelana Jaya.

ANGKASA, sebuah badan apeks gerakan koperasi di Malaysia telah ditubuhkan pada 12 Mei 1971 hasil daripada cadangan Kongres Kerjasama Kedua yang dirasmikan oleh YAB Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua dengan tujuan bagi merangsang dan memperkasa pembangunan koperasi di Malaysia.

Pada 22 Januari 1972, kerajaan memberi pengiktirafan bahawa ANGKASA merupakan wakil gerakan koperasi di Malaysia dan pada tahun yang sama, ANGKASA  menganggotai International Co-operative Alliance (ICA) iaitu pertubuhan koperasi di peringkat dunia. Tarikh bersejarah pada 23 Mei 1996 menyaksikan ANGKASA diwartakan oleh kerajaan sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang menyatu dan mewakili gerakan koperasi di peringkat nasional dan global. Kini, ANGKASA terus memperluas peranannya dalam memacu pembangunan perniagaan koperasi untuk meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi dan kesejahteraan anggotanya.

ANGKASA pada hari ini melancarkan Logo ANGKASA50 sebagai identiti korporat selari dengan pencapaian memperkasa gerakan koperasi selama 50 tahun penubuhannya. Logo ini menggabungkan warna biru sebagai warna korporat ANGKASA dan jalur emas yang melambangkan kekukuhan, keunggulan dan kelestarian ANGKASA dalam menyatukan dan mewakili 14, 625 buah koperasi dengan kira-kira 6 juta anggota di negara ini.

Perkataan Jubli Emas 1971- 2021 merupakan tanda memperingati tahun 2021 sebagai tahun sambutan Jubli Emas ANGKASA. Manakala tema “Menjulang Aspirasi Koperasi” dipilih dan diletakkan pada jalur emas bagi menyemarakkan semangat para koperasi untuk meningkatkan pencapaian dan kecemerlangan dalam memberi manfaat yang berterusan kepada anggota serta memupuk budaya berkoperasi dalam kalangan masyarakat.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Lagu Rasmi ANGKASA bertajuk “Sepakat Membina” yang telah menjadi juara Pertandingan Mencipta Lagu Rasmi ANGKASA bertemakan ‘Semangat Koperasi’. Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik ditulis oleh Ishak Ahmad dipilih daripada 44 penyertaan dari seluruh negara.

Penjurian Pertandingan Mencipta Lagu Rasmi ANGKASA diketuai oleh Dato’ Mokhzani Ismail, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik, Jabatan Penyiaran Malaysia dan disertai oleh komposer, Jaffar Abd Rahman @ Idris atau lebih dikenali sebagai JARI, Muhammad Yuri Bin Mohamed Edris serta juri dalam kalangan Kepimpinan Tertinggi ANGKASA.

Para pemenang Pertandingan Mencipta Lagu Rasmi ANGKASA menerima hadiah yang disampaikan oleh Presiden ANGKASA . Senarai pemenang adalah seperti yang berikut:

Juara

Tajuk Lagu: Sepakat Membina

Komposer: Azlan Abu Hassan

Lirik: Ishak Ahmad @Auchu

Hadiah: Wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan

Hadiah Juri

Komposer: Zuraidy Wan Chek

Lirik: Mohd Shahir Hassan

Hadiah: Wang tunai RM2,500 dan sijil penghargaan

Hadiah Juri

Komposer/ Lirik:  Fauzi Ausunam / Haris Fazilal / Boy Razak / Sham Barongan

Hadiah: Wang tunai RM2,500 dan sijil penyertaan

Hadiah Juri

Komposer: Anuar Ab Razak

Lirik: Zamzairi bin Mohd Jawi

Hadiah: Wang tunai RM2,500 dan sijil penyertaan

Sempena dengan Sambutan Jubli Emas ANGKASA 2021, pelbagai program dan pertandingan menerusi platform media sosial akan dilaksanakan untuk menyemarakkan penyertaan anggota koperasi dan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk sama-sama meraikan tahun yang penuh bermakna buat ANGKASA.

“Menjulang Aspirasi Koperasi”

 

PENGURUS BESAR BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
ANGKATAN KOPERASI KEBANGSAAN MALAYSIA BERHAD (ANGKASA)

23 DISEMBER 2020

>> Klik di sini untuk muat turun siaran media


Print